| PEMBINAAN MODAL INSAN PERLU SELARI FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA |
Pembentangan Rancangan Malaysia ke-9 (RMK?) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi baru–baru ini yang mensasarkan pembangunan modal insan sebagai teras utama pembangunan negara dalam mencapai impian Wawasan 2020 adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian sepenuhnya oleh semua pihak. |
Penumpuan kepada tiga strategi utama untuk melahirkan modal insan kelas pertama iaitu meningkatkan keupayaan dan penguasaan ilmu, mengukuhkan keupayaan sains; penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi; dan memupuk masyarakat berbudaya dan memiliki kekuatan moral merupakan langkah bijak yang harus didokongi bersama–sama dan mahasiswa khususnya perlu menyahut seruan ini. Ini turut bertepatan dengan kehendak Perdana Menteri sendiri yang meminta seluruh rakyat terlibat secara langsung dalam proses RMK-9 tanpa memikirkan kepentingan diri.
Namun begitu dalam kita merencanakan halatuju pembentukan insan yang diimpikan, satu aspek yang tidak boleh dikesampingkan adalah asas atau dasar kepada pembentukan insan itu sendiri dalam konteks pendidikan di Malaysia. Apa yang dimaksudkan di sini adalah perlunya modal insan yang ingin dilahirkan tersebut selari dengan hasrat Falsafah Pendidikan Malaysia sendiri yang merupakan batu asas kepada corak pendidikan Negara. Falsafah Pendidikan Negara (FPN) yang merupakan asas kepada pelaksanaan sistem pendidikan di Malaysia menggambarkan suatu impian yang cukup besar untuk melihat lahirnya dari sistem pendidikan Malaysia ini individu–individu unggul dan seimbang serta harmonis dalam pelbagai aspek. Ini dapat dinilai daripada dua entiti penting yang terkandung di dalamnya iaitu wajah insan yang dihajati dan kaedah untuk mencapai wajah insan itu.
Secara ringkas, FPN menggariskan bahawa individu yang diimpikan ialah individu yang baik, seimbang dan harmonis dalam pelbagai aspek iaitu meliputi aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani. 'Seimbang' disini membawa pengertian bahawa individu yang ingin dilahirkan adalah individu yang tidak melampaui batas , dan tidak mengutamakan satu aspek dan mengabaikan aspek yang lain. 'Harmonis' pula mengertikan bahawa keempat–empat aspek berkenaan perlu wujud secara bersama dan saling kukuh–mengukuhkan antara satu sama lain. Namun begitu, keseimbangan dan keharmonian dalam keempat–empat aspek berkenaan tidak sempurna melainkan hanya bilamana ia didasari oleh ketaatan dan kepatuhan kepada Tuhan. Di sinilah kemuncak dasar FPN yang menentukan keberkesanan sistem pendidikan negara. Jelas bahawa sistem pendidikan negara tiada kompromi dalam perkara–perkara yang bersifat ketuhanan sebagai asas pembinaan utama seseorang individu.
Seterusnya FPN menggariskan bahawa jalan atau kaedah yang perlu dilalui ke arah mencapai matlamat berkenaan adalah secara berterusan, menyeluruh dan bersepadu. Ini membawa pengertian bahawa proses pembinaan individu yang dihajati ini perlu berlaku secara terus–menerus dan tanpa putus-putus. Ia turut membawa inspirasi bahawa proses ini perlu berlaku secara menyeluruh, merentasi dan berpadu tanpa pemisahan dengan subjek atau kurikulum lain. Ini bermakna ia tidak hanya berlaku dalam matapelajaran Pendidikan Islam mahupun moral semata–mata malah turut menyerap ke dalam matapelajaran sains, matematik dan lain–lain.
Justeru, dalam jangka masa berbaki 15 tahun ini, semua pihak perlu bekerja keras. Proses pembinaan insan bukanlah proses yang mudah yang hanya mengambil masa dua tiga tahun. Bahkan ia menuntut kepada gabungan tenaga seluruh pihak dalam merealisasikan impian ini. Dalam kata lain, tanggungjawab berat ini bukan hanya terletak di atas bahu pihak sekolah, institusi pendidikan tinggi, jabatan–jabatan pelajaran, Kementerian Pelajaran ataupun Kementerian Pengajian tinggi sahaja malah turut tergalas bebanannya di atas bahu institusi kekeluargaan, masyarakat sekitar, pihak media, institusi pentadbiran dan lain–lain. Dengan itu kita mengimpikan proses pembentukan yang berlaku ini tidak hanya berlegar di sekitar tembok pagar sekolah sahaja, akan tetapi kita turut mengimpikan satu hari nanti jaminan berani akan diberikan kepada pelajar bahawa biarpun mereka berada di luar lingkungan pagar sekolah, proses ini tetap berterusan berjalan dengan baik. Dalam kata lain setiap pihak akan menjadi pendidik. Pihak media samada media cetak mahupun elektronik mendidik melalui media, masyarakat sekitar turut mendidik melalui sumbangan membentuk persekitaran yang baik dan selamat, manakala institusi kekeluargaan pula berjalan di atas peranannya yang asas sebagai pembentuk peribadi insan yang mulia.
Kesimpulannya, perletakan asas pembinaan insan ini di atas tapak yang benar-benar kukuh ditambah dengan kerjasama dan gabungan tenaga semua pihak merupakan rahsia kepada terzahirnya impian ini 15 tahun akan datang.
|